Angan-angan vs Realiti
"Alhamdulillah. Husna
kahwin hari ini!"
Ramai kawan-kawan terkejut
dengan status tu. Tak kurang juga yang mendoakan "Barakallahu lakuma kak
Husna!"
Tersengih sampai telinga saya
baca. Haha. Boleh saya katakan - semalam adalah hari paling ramai orang mesej.
Sampai harini baru selesai balas semua mesej. Sibuk macam pengantin baru konon.
Sebenarnya status itu saya
tulis selepas pulang dari kenduri. Kebetulan nama pengantinnya Husna.
Bunga-bunga sekejaplah hati saya. Hehe.
Hanya satu yang saya fikir
ketika membaca mesej-mesej kalian..
"Alangkah baiknya jika
doa yang saya terima hari ini merupakan doa yang berterusan hingga saya telah
tiada di dunia ini"
Semakin banyak saya bergaul
dengan orang tua, semakin saya mengerti mengapa mereka memandang kehidupan
dengan kaca mata akhirat.
Pernah seorang atuk sembang
santai dengan saya :
"Kawan-kawan atuk semua
dah meninggal, tinggal atuk je hidup lagi.."
Allahu, sentap betul atuk ni.
Biasanya bila bersama orang
muda, rata-rata akan bergurau :
"Kawan-kawan aku ramai
dah kahwin, tinggal aku je belum. Huhu"
Hakikatnya, aku kahwin atau
tak kahwin, aku pasti akan mati. Mungkin jodoh ajal itu datang dulu, mungkin
juga jodoh pasangan hidup datang dulu.
Di sebelah petang, Allah
pertemukan saya dengan seorang pakcik. Wajahnya berseri-seri ketika bercakap
dengan saya. Di hujung pertemuan, pakcik itu kongsikan tanda-tanda kematian
yang Allah beri kepadanya. Meremang bulu roma saya waktu tu.
"Ini semua kerja
Allah. Banyakkan solat malam. Banyakkan doa. Pakcik bahagia dengan kehidupan
pakcik harini"
Entah mengapa, jiwa saya
sebak sangat hingga menitislah air mata. Saya mengganggap apa yang berlaku
semalam benar-benar teguran dari Allah.
"Dialah (Allah) yang
telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat)"
(Surah Al Mulk : 2)
Allah mencipta hidup dan
mati. Dan mati itu pintu gerbang hidup yang abadi.
Melalui perkahwinan,
membiaklah kehidupan. Melalui kematian, terhentilah nafas seorang insan.
Semoga kita semua dikurniakan
kematian yang menghidupkan. Mati dalam iman dan meraih pandangan Allah
ArRahman.
Comments
Post a Comment