Patah Sayap Terbang Jua (Expert's View)
Seketika merenung kehidupan yang
telah kita lalui, pasti ada kepahitan, keperitan, kesedihan, dan kedukaan dalam
hidup ini. Namun kegembiraan,
keseronokan, kedamaian, ketenangan dan ketenteraman juga tidak dinafikan pernah
hadir dalam hidup ini.
Berbicara tentang duka….
kadangkala duka nestapa yang dilalui terlalu perit dan pedih hingga tidak
nampak jalan keluar. Hidup jadi
buntu. Hati menjadi kering. Mata terbelalak. Jasad tersungkur. Rebah tiada daya dan kekuatan. Seolah-olah tamat sudah kehidupan ini. Begitulah keadaannya terutama bila kita
kehilangan seseorang yang kita amat sayang dari hidup kita. Hal ini banyak menyebabkan seseorang hilang akal
dan pertimbangan.
Menangislah sepuas-puas
hati. Menjeritlah sekuat-kuat hati. Berkabunglah mengurung diri. Reaksi-reaksi ini jelas meninggalkan kesan
pada jasad, aqal dan hati. Ingatlah! Apa
jua tindakan kita, jangan lupa yang nun di sana, ada yang sangat menyayangi
kita namun tidak kita sedari. Kembalilah
kepadaNya. Kelahiran dan kematian. Lahirnya kita tanpa apa-apa. Takkanlah matinya kita tanpa apa-apa?
Sia-sialah hidup ini jika kita berputus asa hanya kerana insan yang meninggalkan kita. Orang yang ternyata sangat lemah dan tidak
berdaya untuk bersama kita.
Bangunlah! Patah sayap terbang
jua… pepatah yang sangat sesuai untuk kita hadamkan. Jadilah seperti burung yang patah sebelah
sayap. Namun tetap terbang meneruskan
kehidupan. Terbang terus melihat
keindahan alam ini. Apakah burung lebih
bijak dari kita? Justeru itu, lawanlah
kemurungan yang menghinggapi kita. Sabar
dan tabah dalam setiap yang berlaku.
Berbaliklah kepada yang paling menyayangi dan sentiasa melindungi kita
setiap detik kehidupan ini. Langit
takkan selalu mendung. Awan pasti
berarak pergi!
Dalam dunia perubatan moden kini,
murung dimartabatkan sebagai suatu penyakit yang tiada tempoh tertentu untuk
sembuh. Ditemani dengan ubat penenang,
seseorang yang murung diberi cuti hingga berbulan-bulan. Apakah ini sekadar emosi? Atau sebagai satu
helah? Apakah emosi ini juga boleh
menyebabkan seseorang itu sanggup mencabut nyawanya sendiri? Wajarkah kita memandang sepi pada masalah kemurungan? La tahzan!
Jangan bersedih! Mudah kalimat
ini tapi dalam maksudnya.
Ketika bapa kepada Nabi Yusuf a.s
dikabarkan tentang kematian Nabi Yusuf a.s oleh abang-abangnya, kesedihan dan
kemurungan yang teramat menimpa bapanya.
Tangisan dan kedukaan ini telah mengakibatkan matanya buta dan jasadnya
sakit. Namun hatinya setiap saat tetap
berdoa kepada Allah swt. Inilah yang
membolehkannya untuk terus hidup. Lihatlah
bagaimana Allah swt menceritakan tentang kemurungan dan penyelesaiannya.
Sekiranya kita bertakwa dan
beramal soleh, kita pasti mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Tidak perlu ubat penenang. Cukuplah dengan mengingati Allah swt, hati
menjadi tenang. Ini janji Allah
swt! Dirikan solat dan berdoa. Mengadu kepadaNya. Yakin pada perlindungan dan pengetahuan Allah
swt. Doa yang ikhlas akan mengubati
kita. Solat yang kusyuk akan meredakan
kepedihan sedikit demi sedikit. Motivasikan
diri supaya tidak menoleh ke belakang.
Lupakan dan maafkan apa jua yang terjadi. Sentiasa melihat ke hadapan. Barulah kita akan dapati, rupa-rupanya banyak
peluang keemasan yang Allah swt bukakan untuk kita. Diri kita bukan milik kita. Apa lagi diri orang lain! Pastikan Allah swt bertakhta di hati kita… in
syaa Allah, kita pasti selamat dunia dan akhirat. Janji Allah swt itu pasti. SayangNya pada kita, tiada tandingan.
Para pembaca yang dihormati dan
disayangi lillahi taala,
Sekiranya ada yang murung dan
bermuram durja di saat ini, ingatlah Allah swt sebanyak mungkin. Ketika rebah terbaring, air mata mengalir,
dada sesak, sebutlah nama Allah swt dengan hatimu. Jeritlah nama Allah sedalam-dalam hatimu. Terus-menerus
memohon pertolonganNya. Tiada yang dapat
mengubatimu kecuali dengan kehendakmu dan keizinanNya jua. Biarlah yang berlalu. Ambil iktibar.
Walau bagaimana susah sekalipun, jangan lupa
yang Allah sangat sayang padamu. Jangan
biarkan diri terumbang ambing sendirian tetapi berpautlah pada Allah swt yang
menciptamu. Sudah tentu Dia lebih
memahami akan dirimu sedangkan dirimu sendiri pun tidak memahami dirimu. Bukalah Al-Quran dengan niat mencari
penyelesaian. Pasti akan ditemui
ayat-ayat yang sesuai dengan keadaanmu. Bukalah
lembaran baru. Azam baru. Berusahalah menjadi orang yang berguna di
sisi Allah swt, bukan di sisi orang lain yang memang lemah yang
mendukacitakanmu. Rebutlah kejayaan
seperti Bilal ibn Rabah atau mujahidah pertama Sumaiyah. Walaupun sakit menahan siksaan, mereka tetap
meraih syurgaNya.
Fahamilah Surah Taha: ayat
110-112 di mana Allah swt bersabda penuh lembut bagi menenangkan jiwa-jiwa yang
kusut.
“Dia (Allah) mengetahui apa di
hadapan mereka yang akan terjadi dan apa yang di belakang mereka yang telah
terjadi, sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya. Dan semua wajah tertunduk di hadapan (Allah)
Yang Hidup dan Yang Berdiri Sendiri.
Sesungguhnya rugi orang yang melakukan kezaliman. Dan barang siapa melakukan kebaikan sedang
dia dalam keadaan beriman, maka dia tidak bimbang akan perbuatan zalim
terhadapnya dan tidak pula bimbang akan pengurangan haknya”.
Ampun dan maaf dipinta atas
kelemahan penulis. Semoga Allah swt
memberkati hidup kita. Aamiin.
*Penulis merupakan alumni San Jose State University, California dalam bidang computer science. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Software Requirements Engineering untuk pengajian sarjana beliau. Penulis juga merupakan merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Programming dan Math. Selain bergiat aktif dalam bidang pendidikan, penulis juga aktif dalam bidang motivasi dan kesukarelawanan.
Alhamdulillah :)
ReplyDelete