"Please Forgive Me.."

By Nur


Suatu ketika, ketika aku berada di masjid, ada jenazah yang dibawa masuk setelah selesai proses pengurusan jenazah tersebut di hospital. Jenazah tersebut merupakan seorang bayi kecil dan aku berpeluang menyertai solat jenazah di masjid itu.

Selesai solat jenazah, semua orang berkumpul di tempat jenazah dibaringkan, untuk menatap & mengucup wajah bersihnya, wajah anak kecil yang tidak berdosa yang telah pergi meninggalkan dunia. Aku juga disitu, hanya mampu melihat pelbagai reaksi & wajah sayu keluarga.

Kemudian, perhatian aku tertarik pada abangnya, seorang budak kecil yang berusia 4 tahun yang duduk di samping jenazah sambil menatap kosong adiknya yang telah dibalut kain kafan. Dalam lamunannya, tiba-tiba si abang bersuara sayu memujuk:

“Adik….abang mintak maaf tau, dulu…. abang berebut mainan…. dengan adik.”

“ Abang mintak maaf tau …..sebab abang buat adik nangis haritu.”

“Abang mintak maaf tau adik…jangan marah… abang.”

Sambil mengusap perlahan jenazah adiknya.

Aku yang tadinya seolah tidak berperasaan menatap pelbagai reaksi, tiba-tiba aku merasakan air mataku pantas bergenang. Pantas aku menyembunyikan air mata yang hampir mengalir ke wajahku.
Selesai urusan jenazah di masjid, aku sempat juga menyaksikan urusan pengebumian jenazah dan sekali lagi si abang berada dekat dengan aku. Kalini, di saat si abang melihat jenazah adiknya dibawa masuk ke dalam liang lahad, dia mula bersuara perlahan sambil menatap jenazah adiknya:

“Adik, byee….jangan…nangis tau sorang-sorang kat sini...”

“Abang…sayang….adik.”

Kalini tanpa sebarang tanda dan amaran, air mataku terus tumpah dengan pantas. Aku tidak dapat lagi tahan air mataku. Sungguh sayu, ditambah lagi waktu malam yang dingin sangat match dengan mood semua orang diwaktu itu. Satu pengalaman yang tidak mungkin aku akan lupakan. Terima kasih atas pengajaran, si Abang dan Adik.

Kisah ini mungkin agak simple tapi sangat memberi kesan dalam hidup aku, bahawa:

1. Tidak kira muda atau tua, kematian itu akan hadir bila-bila masa. Ianya perkara yang pasti terhadap kita. Nak enjoy? Tidak salah, tapi perlu hadir dengan kesedaran untuk fikir balik adakah cara enjoy kita ni melanggar perintah Dia? Kalau tidak, maka silakan.

2. Si abang tadi mungkin cuma seorang anak kecil tapi mempunyai hati yang sangat  matang, lembut dan tidak ego untuk minta maaf (Walaupun sudah terlambat). Tapi still, dia minta maaf dan tetap cakap yang dia sayang adik dia. Bagaimana dengan kita? Kadang-kadang orang dah tiada di dunia pun kita masih menjaja kesalahan si mati. Adakah kita tidak pernah buat salah langsung? Mungkin kita terlupa, kita juga tidak sempurna. Cuma mungkin kita dianggap baik kerana Allah masih menjaga aib kita.

3. Mengingati mati bukan tanda kita mula berputus asa dalam hidup, bukan juga alasan untuk kita tidak bersungguh-sungguh malah dengan mengingati mati sebenarnya mampu membuat kita menjadi insan yang bijak! Ianya melatih kita menjadi insan berguna dunia akhirat. Cuba lah, kita pasti bisa!
4.       Berusahalah membuat kebaikan di dunia yang sementara, untuk hidup bahagia di akhirat yang kekal di sana. Kerana dunia bukan tempat untuk kita tinggal, tetapi tempat kita akan meninggal.

Thanks sudi baca! 

Comments

Popular Posts